Wednesday, 2 October 2013

Minyak dan Isu kenaikan harga

Umum mengetahui bahawa petrol atau nama lainnya gasolin, merupakan campuran daripada cecair bahan api yang diperolehi daripada petroleum yang terdiri daripada bahan utamanya iaitu hidrokarbon alifatik dan ditambah dengan hidrokarbon aromatic seperti toluene, benzena atau iso-oktana untuk meningkatkan penarafan oktana, digunakan secara meluas sebagai bahan api bagi enjin pembakaran dalaman. Manakala formula lazim bagi petrol ialah C8H18.

Sebelum enjin pembakaran dalaman dicipta pada pertengahan abad ke-19, minyak petrol dijual di dalam botol kecil sebagai rawatan terhadap kutu dan telurnya. Pada masa tersebut, perkataan Petrol merupakan satu jenama atau cap dagangan sahaja.

Di A.S., petrol juga dijual sebagai cecair pembersih kesan minyak dan gris pada baju. Sebelum stesen minyak didirikan, pemandu kereta membeli minyak petrol di dalam tin untuk mengisi tangki minyak mereka.
Nama gasolin pada masa tersebut merujuk kepada satu lagi hasil petroleum iaitu petrolatum , yang diniagakan dengan nama vaseline. Cap dagangan Gasoline, walau bagaimanapun, tidak pernah didaftarkan, maka ia menjadi istilah umum. Petrol juga digunakan di dapur serta sebagai bahan api pelita dan dapur mudah alih.

Setelah panjang lebar kita berbicara tentang fakta petrol, tibalah masa kita merungkai isu berkenaan petrol yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia dan bukan sahaja di Malaysia ini, iaitu isu kenaikan harga minyak petrol dunia telah member kesan kepada rakyat Malaysia apabila kerajaan telah mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan dengan meningkatkan harga minyak petrol sebanyak 20sen seliter dan dalam tempoh kurang dari sebulan dinaikkan lagi 10sen seliter pada September 2013.

Pengurangan subsidi kerajaan atau lebih sinonim kepada rakyat dengan kenaikan harga minyak ini dikatakan adalah kerana kerajaan ingin mengawal kes penyeludupan minyak ke negara asing. Oleh kerana kes penyeludupan yang meluas ke Thailand sekarang ini. Jadi wajarkah cara penyelesaian yang digunapakai oleh kerajaan ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Pendek kata kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh kerana segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuat penyeludupan, seluruh rakyat Malaysia yang tidak bersalah terpaksa menanggung bersama, bagi mereka yang berpendapatan tinggi isu ini mungkin tidak berbangkit, tetapi pada rakyat yang pendapatan mereka pun hanya cukup-cukup untuk menyara kehidupan harian sahaja, perkara ini adalah sangat membebankan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Apabila harga minyak naik, tidak lama kemudian kebanyakan barang rantaian keperluan harian pun akan terus naik dan menyebabkan perbelanjaan harian meningkat, sedangkan pendapatan masih lagi sama. Lebih menyayat hati bagi golongan yang berpendapatan rendah apabila mereka terpaksa menanggung peningkatan kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatan mereka amatlah rendah. Sepatutnyakerajaan tidak wajar menaikkan harga petrol sewaktu rakyat sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang selepas musim perayaan pada bulan Ogos yang lepas.  

Seorang pakar matematik mendedahkan tentang kesan kenaikan harga  minyak iaitu Hamid Prof Madya Yeop Zainuddin, Pakar Matematik Gunaan, mendedahkan satu fakta sama ada impaknya menguntungkan atau merugikan negara. Penyelarasan subsidi ke atas beberapa bahan keperluan seperti petrol dan gula bukan sahaja member kesan kenaikan harga keperluan asas lain, malah pelbagai pihak dari sektor perkhidmatan juga menaikakan cas atas alasan tersebut.

Kajian beliau melalui pendekatan matematik adalah untuk meneliti fakta apakah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat. Beliau dalam kajianya mengatakan harga pasaran petrol mentah dunia adalah sentiasa naik dan turun, tetapi harga petrol di negara kita sentiasa naik dan tidak pernah turun. Fakta ini telah membuktikan bahawa harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh harga minyak di pasaran dunia.

Beliau mengatakan lagi jika harga minyak dunia meningkat, maka keuntungan negara juga meningkat kerana Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan bukan seperti Singapura yang merupakan negara pembeli minyak sahaja. Sepatutnya harga dapat dikurangkan lagi, bukanlah dinaikkan sehingga membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Dalam pengiraan matematik daripada kajian ini,  beliau mendapati bahawa negara kita boleh mengurangkan harga minyak dengan menyerap terus keuntungan yang diperolehi daripada Petronas ke dalam hasil minyak (petrol dan diesel) yang dijual di dalam negara.

Penyerapan keuntungan ini membolehkan Petronas dapat menjual Petrol dengan harga yang lebih rendah daripada syarikat petrol asing. Secara langsung tindakan ini dapat meningkatkan pendapatan dan keuntungan Petronas dengan peningkatan hasil jualan mereka.

Oleh kerana peningkatan harga minyak yang tidak ada penghujungnya pelbagai alternatif diperlukan oleh pengguna untuk mengurangkan penggunaan bahan api dalam kegunaan harian. Contohnya bagi mereka yang membawa kereta masing-masing untuk ke tempat kerja boleh cuba untuk berkongsi pengguanaan kereta. Bagi mereka yang bekerja satu pejabat bolehla menumpangkan rakan-rakan sepejabat mereka dan berkongsi duit minyak. Dengan cara ini mereka bukan sa-haja dapat menjimatkan penggunaan bahan api, malah dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di waktu kemuncak seperti pagi dan petang semasa pulang dari tempat kerja.

Mereka yang berpendapatan sederhana juga boleh menggunakan kenderaan awam seperti LRT atau komuter untuk menjimatkan penggunaan minyak dalam kegunaan harian mereka. Kita tidak mampu untuk meminta untuk harga minyak diturunkan atau meminta majikan menaikkan gaji kita, tetapi setiap orang perlulah memikirkan jalan penyelesaian dan alternative yang ada untuk meneruskan kehidupan seharian.
Kenaikan harga minyak ternyata membebankan bukan sahaja dewasa yang menggunakan kenderaan bermotor, mereka yang tidak menggunakan bahan api ini secara tidak langsung juga turut terasa bahangnya kerana apabila harga minyak dinaikkan, secara automatik segala keperluan harian secara perasaan atau tidak mula dinaikkan secara perlahan-lahan oleh penjual kerana semuanya saling berangkai dan berkaitan antara satu sama lain. Contohnya penjual nasi lemak menaikkan harga nasi lemak kerana ikan bilis telah naik harga. Penjual ikan bilis pula menaikkan harga mereka kerana pembekal bilis mengatakan kos penghantaran telah meningkatan dan begitulah juga alasan yang digunakan oleh peniaga-peniaga lain yang digunakan untuk mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada kenaikan harga minyak. Yang menjadi mangsa adalah penduduk yang berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin tidak member impak kepada mereka kerana  pendapatan mereka adalah melebihi kadar penggunaan harian yang diperlukan.

Walau apapun, kita sebagai rakyat harus bersuara untuk mendapatkan hak yang sewajarnya dan jangan cepat melatah  dengan apa yang berlaku, tetapi perlu mencari jalan yang tidak menegangkan mana-mana pihak dan cuba untuk member pendapat pada salurang yang betul yang dapat membantu kita kelak dan perlu menguruskan sumber yang ada dengan berhemah supaya dapat berjimat cermat dengan cabaran kehidupan dan ekonomi keluarga yang semakin meningkat dengan peningkatan  harga minyak ini. Saya berharap pihak yang bertanggungjawab tidak menaikkan harga minyak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesengsaraan yang rakyat terpaksa tanggung untuk masa yang akan datang.

1014 patah perkataan


No comments:

Post a Comment